Isnin, 17 Disember 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


2 lelaki ‘curi’ kepercayaan hawa

Posted: 17 Dec 2012 05:46 AM PST

"BELI saja dari online senang, cepat dan menjimatkan masa. Tidak perlu bersusah payah mencari tempat meletak kereta. Cuma hidupkan komputer riba, layari laman sesawang, klik, pilih saja mana yang berkenan di hati dan bayar. Mudah bukan?"

Mungkin ini antara luahan pendapat beberapa pelanggan yang mula menjalankan urusan pembelian menerusi dalam talian.

Sesetengahnya pula berasa kurang yakin kerana barang yang diingini tiada di depan mata, tidak mampu dipegang dan dicuba terutama membabitkan barangan wanita seperti pakaian, kasut dan beg tangan.

Namun, walau apa juga tanggapan ramai, urusan membeli di alam maya kini menjadi satu gaya hidup terkini masyarakat kota terutama wanita yang sentiasa sibuk dengan urusan seharian.


Keadaan ini menyebabkan 'butik' dalam talian bak cendawan tumbuh selepas hujan. Tumpuan asasnya mudah saja, menjual keperluan wanita dari hujung rambut sehingga kaki bagi memastikan barang dipasarkan mendapat perhatian.


Namun bagi meyakini dan mewujudkan kepercayaan pelanggan bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana barang yang ingin dibeli hanya mampu dilihat menerusi skrin tanpa dinilai kualitinya.

Di sinilah letaknya kebijaksanaan penjual melakukan promosi. Mungkin bagi pemilik butik alam maya wanita tiada masalah kerana mereka lebih memahami kehendak wanita.

Tetapi bagaimana pula sekiranya empunya butik itu lelaki dan menjual pakaian wanita?

Bagi pemilik Allya Mysara Couture (AMC), Wan Iskandar Zulkarnain Wan Ismail, 26, atau mesra disapa Kimi, detik perniagaan dalam talian bermula selepas menemani ibu ke Tanah Abang, Indonesia.

Melihat pelbagai jenis pakaian pada harga murah menyebabkan dia membeli beberapa rekaan busana untuk dijual di pejabat.

Daripada situ, dia melihat masa depan perniagaan ini yang mampu berkembang sehinggalah dia menjual menerusi dalam talian menggunakan nama Allya Mysara Couture bersama sahabat karib, Ahmad Yusri Ismail, 30.

"Ketika itu, saya masih bertugas sebagai pegawai teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta, begitu juga Yusri sebagai pensyarah kolej.

Berbekalkan minat dan sedikit pengetahuan, kami memulakan perniagaan dengan hanya menjual kaftan, telekung dan sejadah," katanya yang berkelulusan kejuruteraan mekanikal daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.

Menyedari kedua-duanya lelaki dan langsung tiada pengetahuan asas mengenai jahitan dan fesyen, Kimi menjalankan sedikit kajian mengenai kesukaan wanita ketika berbelanja serta mencari strategi mendapatkan kepercayaan pelanggan.

Dengan menyamar sebagai pelanggan wanita, dia menyedari kepercayaan hanya dapat diwujudkan menerusi kesahihan maklumat serta barang dipasarkan.

Berbekalkan semangat dan wawasan untuk mengetengahkan fesyen busana Muslimah elegan, eksklusif serta mampu milik, mereka mengorak langkah menawarkan jualan secara borong bagi kaftan, jubah dan blaus sehingga berjaya menambat hati pemilik butik Muslimah di seluruh Malaysia sehingga mampu memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM10,000 sebulan.

"Sedikit demi sedikit kami membina kepercayaan pelanggan terutama wanita dengan menyediakan rakaman video di YouTube mengenai pakaian dipasarkan, komen daripada pelanggan serta mencari seberapa banyak tajaan untuk artis.

Alhamdulillah, selepas empat bulan membuka butik di rumah di Setapak, Kuala Lumpur, kami berjaya menaja Fauziah Ahmad Daud dan beberapa selebriti lain," jelasnya yang percaya pelaburan dikeluarkan untuk tajaan menjanjikan pulangan lumayan pada masa depan.

Menurut Kimi, cabaran sebagai pemilik butik lelaki apabila pelanggan berasa kurang selamat untuk berurusan.

Ini kerana ada yang ingin datang ke rumah untuk melihat baju dan apabila mereka mengetahui jantina pemiliknya, ramai yang membatalkan hasrat untuk bertemu.

"Apa yang saya lakukan adalah menyediakan kaki tangan wanita supaya urusan pembelian dilakukan sesama mereka.

Pelanggan berasa lebih selesa terutama ketika mencuba pakaian dan memilih fesyen mengikut bentuk badan wanita. Mereka juga rasa selamat memandangkan wanita lebih memahami dan jarang melakukan penipuan," ujarnya.

Selepas empat bulan menjalankan perniagaan alam maya, Kimi mulai nampak masa depan dalam bidang ini sehingga sanggup melepaskan jawatan sebagai penasihat teknologi maklumat. Berbekalkan modal RM2,000 dengan hanya 40 baju, Kimi dan Yusri melangkah setapak dengan membuka butik di Shah Alam, Selangor.

Jelasnya, walaupun masih menjalankan perniagaan secara dalam talian, pembukaan butik terbabit untuk memberi keselesaan kepada pelanggan terutama daripada segi memilih dan mencuba baju.

Walaupun 70 peratus hasil keuntungan diperoleh daripada jualan alam maya, membuka butik mampu memberikan kepuasan berbeza terutama bagi mengembangkan perniagaan pakaian.

Pada masa sama, mereka turut menganjurkan kursus borong Indonesia terbuka kepada sesiapa saja yang ingin menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Bagi Kimi, tidak salah berkongsi ilmu terutama di kalangan ibu tunggal serta wanita yang ingin mencari pendapatan tambahan.

"Kami ingin berkongsi maklumat dengan sesiapa saja yang berhasrat menjalankan perniagaan dalam talian. Dengan berbekalkan modal yang sedikit, sesiapa juga mampu mencipta kejayaan yang besar dalam perniagaan.

Apa yang penting, ilmu serta bertindak menjual barangan yang berbeza daripada peniaga lain," ujarnya yang kini menjual hasil rekaan sendiri yang dipelajari menerusi laman YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



Bekas graduan Monash tak sesal tukar bidang

Posted: 17 Dec 2012 03:42 AM PST

JIKA difikirkan perjalanan hidup wanita berusia 27 tahun ini amat mudah. Dia dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan dengan dorongan ayah dan ibu yang mahukannya bergelar akauntan, doktor atau peguam suatu hari nanti.

Namun bekas graduan daripada Universiti Monash dengan memiliki persijilan perakaunan daripada Australia, Hoe Hui Wen sepatutnya mampu tersenyum puas kerana berjaya menjawat jawatan penting di sebuah firma berprestij di Singapura seterusnya membanggakan ibu bapanya.

Namun dia sengaja memilih jalan yang lebih mencabar dengan menceburi perniagaan alam maya.

Ketika ditemui di pejabat yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur, jelas tergambar kepuasan pada wajah pengasas dan pengarah kreatif kedai fesyen popular di lawan sesawang, Azorias apabila jenama yang membawa maksud kecantikan dan kesegaran dalam bergaya itu kini kian terkenal sebagai butik alam maya yang menyediakan keperluan untuk wanita berkerjaya.


"Saya rasa bertukar kerjaya kepada berniaga satu keputusan yang tepat. Sejak kecil saya memang suka melukis dan membuat lakaran pakaian. Namun bapa menidakkan kebolehan serta impian saya kerana beranggapan perniagaan mendatangkan risiko.


"Tambahan pula dalam keluarga kami, semua bekerja makan gaji. Namun saya ingin yakinkan mereka keputusan saya sangat tepat. Ijazah yang saya peroleh hanya untuk memuaskan hati keluarga, sekurang-kurangnya ia membuktikan yang saya bersungguh-sungguh dalam pelajaran.

Sekarang saya mahu mencapai cita-cita dalam bidang perniagaan pula," ujarnya yang mempunyai dua rakan baik yang saling membantu dan berkongsi minat yang sama.

Selepas berhenti kerja, wanita ini melancong untuk mencari idea serta berfikir apa yang akan dilakukan seterusnya.

Ketika inilah dia mula terfikir menjalankan perniagaan dalam talian dengan memberi tumpuan kepada wanita moden bergaya.

Ini ditambah ketika bekerja di Singapura, Hoe merasakan kebanyakan rakannya 'terperangkap' dengan memakai pakaian formal bukan saja ke pejabat malah pada hari senggang. Ramai merungut mereka tiada pilihan dalam berbelanja kerana kesuntukan masa membeli-belah.

Ternyata kerjaya pilihan Hoe sangat tepat apabila membuka butik dalam talian bermula 1 Jun 2011 yang kini bukan saja menjadi kegilaan wanita Malaysia malah pelanggan luar negara seperti Singapura, Australia, United Kingdom, Sepanyol, Russia, Indonesia serta negara Eropah lain.

Ini kerana, ia menjanjikan sistem pembelian yang bukan saja sistematik malah keperluan untuk wanita moden berkerjaya, elegan dan eksklusif sesuai untuk ke pejabat serta acara kasual.

Menyedari kebanyakan pelanggannya berbangsa Melayu dan menggemari potongan Muslimah moden, dia berusaha menyediakan rekaan untuk semua peringkat usia dengan menyediakan pakaian labuh, longgar dan tidak jarang supaya sesuai dipakai wanita bertudung.

"Azorias menyediakan pakaian terkini dari Korea dengan rekaan terus untuk wanita tempatan berdasarkan potongan, warna dan fabrik.

Sentuhan perincian manik, batu permata dan reben menjadi tanda pengenalan Azorias. Ini kerana nilai elegan mampu ditampilkan untuk wanita yang ingin bergaya ke majlis rasmi atau perkahwinan," katanya.

Dengan perkembangan Internet dan percambahan perniagaan dalam talian, sudah semestinya persaingan antara pemilik butik maya juga semakin meningkat.

Jika dulu kebanyakan wanita gusar memikirkan mereka ditipu atau barang tidak sampai, rosak dan tidak mendapat seperti diinginkan, kini dengan perkembangan teknologi, minda pelanggan terutama wanita semakin terbuka.

"Menerusi sistem dalam talian, kami ingin mendidik wanita supaya menjadikan suasana membeli-belah menerusi alam maya sebagai gaya hidup terkini mereka.

Ini boleh direalisasikan dengan menyediakan laman sesawang yang mesra pengguna, mudah membuat pemilihan dan bayaran, penghantaran yang cekap serta selamat," ujarnya.

Dia kini memberi tumpuan kepada matlamat utama iaitu ingin menjadikan Azorias sebagai label fesyen terkenal di dunia, juga sinonim dengan pakaian berkualiti untuk wanita berkerjaya dan berjaya.

"Saya berharap dapat merealisasikan impian ini suatu hari nanti bagi mewujudkan suasana membeli-belah sebenar kepada wanita.

Lebih penting, Azorias dapat menerajui fesyen alam maya pertama yang menyediakan semua keperluan untuk wanita," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved