Selasa, 26 Mac 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Peluang cerah kembang karier

Posted:

Kelana Jaya: Prospek untuk dua pemain muda negara Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim Che Hashim mengembangkan karier ke peringkat lebih tinggi kini terbuka luas biarpun mereka hanya dipikat kelab Liga Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu.

Kedua-dua pemain Harimau Muda A itu sudah menandatangani kontrak bersama kelab yang berpangkalan di Okinawa itu dan berpeluang mempamerkan kemampuan untuk memikat pencari bakat kelab ternama di Jepun selepas ini.


Namun ini terpulang kepada Wan Zack, 22, dan Nazirul, 19, untuk mengambil peluang dan apa yang perlu dilakukan terlebih dulu, merebut tempat dalam kesebelasan utama FC Ryukyu.

Naib Presiden Eksekutif FC Ryukyu Sotaro Shinoda yakin dengan potensi dimiliki kedua-dua pemain negara ini dan kelabnya boleh menjadi platform terbaik untuk mereka melangkah lebih jauh.


"Jika mereka bermain dengan baik, tidak mustahil ada kelab besar Liga Jepun mahu mengambil mereka selepas ini. Kami tidak akan menyekat jika mereka mendapat tawaran lebih baik kerana kelab kami akan berbangga menjadi tempat permulaan karier mereka," katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman rasmi Wan Zack Haikal dan Nazirul sebagai pemain FC Ryukyu semalam.


Shinoda berkata, tiada layanan istimewa akan diberikan kepada kedua-dua pemain negara sebaliknya mereka perlu bersaing merebut tempat dalam skuad yang kini memiliki 29 pemain itu, termasuk dua pemain import dari Korea Selatan dan seorang, Brazil.

Foto

SHINODA (kiri) menyerahkan jersi kepada Wan Zack dan Nazrul (kanan).

"Jika mereka cergas, menunjukkan prestasi baik dalam latihan serta cepat menyesuaikan diri dengan pasukan, mereka pasti diberi peluang bermain dalam kesebelasan utama. "Mereka bagus, mempunyai kemahiran, kepantasan dan berbakat, saya harap mereka akan cepat mendapat tempat dalam skuad utama," katanya yang berlepas pulang ke Jepun bersama Wan Zack Haikal dan Nazirul semalam.


Wan Zack Haikal yang beraksi di posisi sayap menandatangani kontrak selama dua tahun pada Sabtu lalu manakala Nazirul, pemain pertahanan kiri hanya menerima kontrak selama setahun.

Shinoda bagaimanapun menjelaskan pihaknya membuat penilaian tersendiri sebelum mengemukakan tawaran itu.


"Kami sudah mengikuti perkembangan Wan Zack Haikal sejak pusingan kelayakan Olimpik tahun lalu hingga sekarang dan mengenali kemampuannya. "Kami hanya menilai kemampuan Nazirul hasil pemerhatian ketua jurulatih dalam latihan minggu lalu dan hanya menawarkan kontrak setahun. "Tapi jika dia beraksi dengan baik, kontraknya akan disambung. Peluang Nazirul cerah kerana kelab di Jepun memang sukar mendapatkan pemain pertahanan kiri yang bagus."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26

Pertiwi FC pamer belang

Posted:

Baling: Pasukan Pertiwi FC Kampung Gabus, Pulai muncul juara Liga Bolasepak Gabungan Pemuda/Veteran anjuran Kampung Telok Teduri berlangsung di padang kampung itu, baru-baru ini.

Setiausaha pertandingan Yuhani Ariffin berkata, 10 pasukan menyertai pertandingan itu bagi mencungkil bakat baru di kalangan pemuda selain mengeratkan hubungan sesama pemain dan penduduk setempat.


Beliau berkata, pertandingan julung kali itu lebih kepada semangat kesukanan kerana bolasepak digemari semua lapisan masyarakat termasuk anak-kanak dan golongan warga emas.

Katanya, dengan adanya sukan seperti itu meskipun di peringkat kampung, ia memberi semangat kepada setiap pemain mempamerkan aksi menarik untuk tontonan semua.


"Kami menganjurkan pertandingan demi semangat kesukanan dan ingin mencungkil bakat baru di kalangan pemuda. "Sebab itulah kami turut mengadakan pertandingan peringkat veteran supaya sambutan itu lebih meriah dengan gelagat yang dipamer golongan berkenaan," katanya.


Yuhani berkata, pasukan yang menyertai pertandingan itu membabitkan Kampung Lela, Kuala Pegang, Iswara Kampung Tok Weng, Pertiwi FC Kampung Gabus, Kuak Tengah FC, Pengkalan Hulu Perak, Pulai FC, Tekok Teduri FC dan pasukan Bawah 18 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putera Baling.

Beliau yang juga jurulatih pasukan B-18 SMKTP berkata, pasukan sekolah itu disenaraikan dalam pertandingan itu untuk didedahkan dengan situasi perlawanan sebelum menyertai pertandingan lebih besar.


Menurutnya, SMKTP juga akan mewakili daerah Baling/Sik ke pertandingan bolasepak peringkat negeri di Kulim, bulan depan.

"Melalui perlawanan bersama penduduk setempat, ia dapat mendedahkan mereka berdepan pasukan lain," katanya.


Pasukan Pertiwi FC muncul juara apabila mengalahkan Iswara FC dari Kg Tok Weng menerusi sepakan penalti 3-2.


Penyampaian hadiah disampaikan Ketua Pemuda UMNO Baling Mohd Khairul Azhar Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved