Selasa, 26 Mac 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Bangga kejayaan wanita

Posted:

Kemampuan berkata-kata bukan mampu dimiliki semua orang apalagi mahu tampil berdiri dan bercakap di depan kamera, satu perasaan yang cukup menggerun­kan.

Sering kali, persepsi sekadar menjual muka khasnya buat penga­cara wanita bukan lagi persoalan asing di mana bakat me­ngacara tidak seberapa, tapi layak juga diberikan tugas berat itu.

Namun bertemu model jelita kelahiran Singapura, Hanli Hoefer, 20, yang kini secara rasminya dilantik sebagai pengacara The MTV Show menepis persepsi itu. Usah disang­kal kejelitaan, nama­nya pun model, namun paling membang­gakan daripada cara dia berbual memang menampakkan auranya sebagai pengacara TV.

Tidak melenting apabila diajukan soalan mengenai pemilihannya sekadar berdasarkan rupa parasnya, VJ Hanli tidak menafikan pasti ada yang beranggapan begitu juga di luar sana.


Bagaimanapun, bergelar Video Jockey (VJ) sudah menjadi impiannya sejak kecil dan dia mahu membuktikan bahawa pemilihan itu berbaloi menerusi program itu kelak.


"Saya pun sebenarnya tidak pernah terfikir benar-benar akan dapat menjadi seorang VJ suatu hari nanti. Memang sejak kecil, saya selalu berangan dan akan bercakap depan cermin sambil meniru gaya pengacara di TV.

"Apabila mendapat peluang ini, saya seakan-akan masih bermimpi dan menggalas tugasan berat ini, saya mahu buktikan saya boleh. Selain menjadi diri sendiri, pendekatan saya pastinya untuk menyalurkan secara berkesan setiap pengisian maklumat kepada penonton," katanya.

Kagum dengan ramai wanita berjaya di seluruh dunia, VJ Hanli mengakui kejayaan supermodel tersohor, Tyra Banks juga mencetuskan semangat buatnya untuk melakar 'sesuatu' untuk diri sendiri.

Baginya, tiada yang mustahil apa lagi peluang sama rata sudah wujud dan berharap boleh menjadi contoh kepada wanita lain di luar sana.

"Tidak dinafikan, Tyra adalah contoh wanita hebat yang ada pada masa ini. Bayangkan daripada seorang model, dia kemudian melebarkan sayap kepada pengacaraan dan kini bergelar ahli perniagaan berjaya pula.

"Terlalu ramai wanita berpengaruh sekarang ini membuktikan wanita juga mampu bersaing dengan lelaki termasuklah juga penulis komedi, Tina Fey yang disegani dengan kemampuan hebatnya dalam bidang lawak jenaka," kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

Berdarah kacukan Peranakan Cina, dia turut berbangga mendapat sokongan penuh terutama bapanya, seorang warga Jerman yang akuinya paling teruja sebaik mendapat tahu dia terpilih menjadi hos program itu.

"Berbanding mak, ayah yang paling gembira sewaktu saya memberitahu berita gembira itu dan dia pula yang lebih-lebih. Dia siap menari-nari seperti budak perempuan dan siap memberikan saya kata-kata semangat," katanya.

Tidak sabar untuk melang­kah ke set rakaman, ternyata Hanli masih belum percaya lagi dia bakal meneraju sebuah rancangan yang sudah mempunyai profil ting­gi dan ramai pengikut.

Menceritakan pengalaman sewaktu menghadiri uji bakat, katanya, tanpa persediaan yang rapi dia cuma berserah pada nasib dan hanya berfikir untuk memberikan aksi terbaiknya.

"Memang tidak boleh dinafikan rasa gementar menguasai diri, apatah lagi kena berdiri seorang diri dan perlu benar-benar meyakinkan produksi mengenai kemampuan saya.

"Bagaimanapun, atas dasar keinginan yang membuak-buak, tambahan pula sudah berada di sana, saya tenangkan diri dan menjadi diri sendiri pada uji bakat berkenaan," katanya.

Teringin bertemu Adele

Bergelar VJ khasnya program gergasi, MTV, peluangnya untuk bertemu artis ternama antarabangsa pasti terbuka luas selepas ini dan Hanli mengakui teringin sangat bertemu penyanyi hebat, Adele.

Mengagumi penyanyi British berkenaan, Hanli berkata, Adele adalah seorang wanita yang benar-benar mencetuskan inspirasi di seluruh dunia pada saat ini.

"Saya bersyukur Adele wujud pada era ini dan dia memang satu dalam sejuta serta lengkap serba serbi. Bukan saja mampu menyentuh hati pendengar dengan karya hebatnya, personaliti serta pembawaan dirinya turut mengagumkan.

"Selain Adele, saya juga menyimpan hasrat untuk dapat berbual dengan pe­nyanyi pop seperti Lady Gaga, Britney Spears dan Nicki Minaj yang menjadi ikon 'budaya pop' di seluruh dunia," katanya.

Tertarik dengan pelbagai isu mengenai perlakuan manusia yang bergolak sekarang ini, dia juga idamkan sebuah rancangan bual bicara mengenai isu berkenaan pada suatu hari nanti.

Apabila ditanya siapakah personaliti bual bicara paling dia kagumi, menurut Hanli, tiada yang spesifik kerana masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk menarik penonton.

"Baik Oprah mahupun Ellen Degeneras dan ramai lagi yang lain, semuanya saya sanjungi dan memang teringin mahu jadi seperti mereka suatu hari nanti.

"Saya seorang yang sangat suka mengem­bara, menonton dokumentari dan buat aktiviti luar. Dari situlah saya mengumpulkan elemen serta info untuk saya jadikan bahan dalam topik yang dibincangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26

Hetty ubati rindu peminat

Posted:

Biarpun berdepan dengan masalah tek­nikal, penghibur terkenal dari seberang, Hetty Koes Endang tetap menjanjikan yang terbaik sempena persembahan Minggu Setiausaha yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 25 April ini.

Penyanyi berusia 55 tahun yang popular dengan lagu Kasih itu bakal menghiburkan tetamu dengan rang­kaian 12 lagu popularnya pada majlis bertemakan 'Sepetang Di Kuala Lumpur Bersama Hetty Koes Endang' itu nanti.

Pada sidang media yang berlangsung Khamis lalu, Hetty yang nampak tenang hadir ditemani Datuk Ram­li MS sambil diiringi wakil penganjur tepat jam 5 petang.

"Maaf saya terlewat turun. Biasanya saya bawa pembantu, tapi kali ini dia tak ikut. Saya kena seterika baju, itu yang lambat. Saya juga bawa anak yang tak pandai buat semua ini," katanya merujuk kepada anaknya, Afifah Qamariah, 17, dalam nada bergurau ketika memulakan bicara pada majlis ini.


Hetty memberitahu dirinya kini selesa bergelar suri rumah. Baginya, dia bukan lagi remaja, tetapi jiwanya akan kembali muda apabila berpeluang menghiburkan peminat dalam persembahan yang berlangsung di PWTC pada 25 April ini.


"Insya-Allah saya akan beri sebuah persembahan yang menarik dan maksimum mungkin. Saya akan buat kejutan bagi menghiburkan penonton. Saya tiada spesifik berapa banyak lagu akan dinyanyikan kerana bergantung kepada permintaan peminat.

"Apa yang penting ialah sistem bunyi yang bagus. Soal bayaran juga tak penting kerana yang penting ialah keizinan suami," kata­nya.

Menurutnya, Malaysia bukan lagi asing kerana anaknya Ameer Mahmed, 19, dan Afifah Qamariah (Afi) lahir di Malaysia. Afi sepatutnya lahir pada pertengahan Ogos, tetapi dia minta ditang­guhkan dengan persetujuan doktor dan akhirnya dia dilahirkan pada 31 Ogos.

"Malaysia adalah rumah kedua saya. Sekiranya tidak datang menyanyi pun, saya akan datang ke sini untuk membeli-belah, jumpa kawan-kawan media dan rakan lama seperti Datuk Ramli. Saya sudah kenal dia lama sebelum saya kenal Pak Yusuf (suaminya, Dr Yusuf Erwin Faisal)," katanya.

Hampir 40 tahun me­nyanyi, Hetty berkata, tiada satu hari pun dilaluinya tanpa latihan. Bagaimanapun, baginya penyanyi boleh dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu penyanyi festival, TV, persembahan dan rakaman.

Hetty turut mengutamakan tidur yang mencukupi sebagai amalan penjagaan kesihatannya. Dia juga rajin mengamalkan minum jamu seperti yang disarankan ibunya selain rajin berjoging di sekitar kediamannya.

"Kehidupan saya kini sangat tenang. Saya lebih fokus pada anak-anak dan latihan vokal berlaku secara spontan apabila anak-anak berkaraoke. Di luar saya adalah Hetty Koes Madewy yang hidup tanpa glamor.

"Saya sebenarnya tak suka pakai pengurus atau pembantu dan biasanya akan bawa anak secara bergilir-gilir ke mana-mana persembahan. Selalunya saya akan beritahu suami mengenai lokasinya dan siapa yang perlu dibawa. Saya menghormati suami kerana di rumah saya adalah isteri dan ibu," katanya.

Sebagai anak seni, sudah tentu bakatnya sedikit sebanyak mengalir dalam tubuh kedua-dua anaknya. Hetty mengakui Ameer dan Afifah mempunyai bakat besar dalam nyanyian. Bagaimanapun, citarasa mereka sangat kontra dengan genre nyanyiannya.

"Syukur saya dianugerahkan anak-anak yang pintar. Saya selalu ingatkan mereka agar jangan ambil suara saya. Jangan tiru gaya saya. Suara Ameer seperti Michael Buble manakala Afi pula kalau di Malaysia lagunya seperti nyanyian Datuk Sheila Majid.

"Afi kini belajar vokal dengan Jilly Likumahuwa. Saya tak nak ajar dia kerana nanti nyanyiannya terikut cara saya. Sengaja saya belokkan mereka seperti itu. Saya nak mereka matang terlebih dahulu dan membentuk vokal agar lebih mantap," katanya.

Hetty yang kini menguruskan perniagaan perabot di Indonesia mengakui ­hanya menerima undangan menyanyi di Malaysia, Singapura dan Brunei. Dia enggan menerima undangan menyanyi dari mana-mana penganjur di negaranya kerana mahu menjaga hati semua pihak.

Acara ini dianjurkan Niqas Resources dengan kerjasama Gitu-Gitu Production milik Saiful Apek. Pelawak ini akan turut membuat persembahan. Datuk Ramli MS bertindak sebagai pengarah muzik, manakala Daphne Iking selaku pengacara.

Tiket bagi menyaksikan persembahan ini dijual dengan harga RM15,000 (satu meja 10 orang) bagi meja VVIP manakala lain-lain tiket dijual pada harga RM1,000, RM750 dan RM500 bagi setiap seorang. Orang ramai yang berminat menonton, boleh hadir ke PWTC dan membuat bayaran terus di kaunter PWTC pada waktu pejabat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved