Selasa, 26 Mac 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Tingkat skil motor si manja

Posted:

Setiap petang, kanak-kanak lelaki berusia antara lima hingga enam tahun ini meronta-ronta minta dilepaskan keluar rumah untuk bermain dengan haiwan peliharaan jirannya.

Biasanya, si jiran akan membawa haiwan peliharaannya bersiar-siar menghirup udara petang sambil melakukan senaman ringan.

Setiap kali melihatkan jirannya membawa keluar haiwan itu, anak kecil ini cuba keluar dari rumah untuk turut serta tapi dihalang pengasuhnya atas alasan si ibu tidak membenarkan kerana bimbang keselamatan si anak.

Kadangkala sayu melihat si kecil itu yang inginkan teman bermain kerana kesunyian ting­gal berdua bersama pengasuh sepanjang hari berikutan ibu dan bapanya bekerja sehing­ga lewat malam.

Foto

DUA pekerja di Pusat Perubatan Haiwan Medivet, Surish Kumar (kiri) dan P Agathesan antara penghidap sindrom Down yang dapat menjalani hidup dengan lebih yakin selepas menjalani terapi haiwan.


Namun apalah daya pengasuhnya kerana jika dibenarkan, kelak dirinya juga yang ditimpa masalah dan mungkin berisiko dibuang kerja.


Apa yang pasti, senario ini bukanlah perkara luar biasa ­dalam kalangan masyarakat kita.

Sudahlah ada segelintir ibu bapa yang enggan memelihara haiwan atas alasan sibuk dan sukar untuk diuruskan, tidak dibenarkan pula anaknya mendekati haiwan peliharaan jiran atau saudara-mara kerana terlalu takut anaknya cedera.

Menurut Pengerusi Eksekutif Pusat Perubatan Haiwan (Kumpulan ­Medivet) merang­kap Timbalan Pengerusi Yayasan Kebajikan Haiwan Kebangsaan Malaysia (MNAWF),
Dr S Sivagurunathan, ­persepsi negatif itu perlu segera ­dita­ngani kerana haiwan peliharaan sebenarnya salah satu medium atau pe­ngantara utama dalam membantu perkembangan minda kanak-kanak.

"Sejak dulu lagi manusia dan haiwan menjadi sahabat dan dianggap sebahagian daripada ahli keluarga. Banyak kisah sejarah membuktikannya.

"Tidak kira sama ada ia ikan, hamster, arnab, kucing dan anjing mahupun kuda, hubungan antara manusia dan haiwan mempunyai nilai estetika tersendiri.

"Justeru, memelihara haiwan atau berkawan ­dengan haiwan adalah hak setiap kanak-kanak - tidak ketinggalan golongan dewasa kerana sebagai manusia, kita rasa selesa dengan persahabatan yang ditawarkan haiwan ini.

"Cuba bayangkan situasi ini. Anda pulang ke rumah selepas seharian penat bekerja. Tapi sejurus tiba di pintu, kepenatan itu bagaikan hilang apabila melihatkan kucing kesayangan anda menggesel atau merengek manja sebagai tanda gembira dengan kepulangan tuannya.

"Secara tidak langsung, tekanan yang anda hadapi sebelum ini mula beransur hilang lalu diganti dengan kelegaan emosi serta perasaan seronok melayan haiwan comel itu.

"Atas konsep yang sama, kanak-kanak juga akan rasa lebih seronok apabila
haiwan ini memberikan perhatian padanya. Interaksi ini sememangnya dapat membantu kanak-kanak ­berkomunikasi lebih baik dengan ahli keluarganya," jelas Dr Sivagurunathan.

Mengulas lanjut me­ngenai perkara itu, Dr Sivagurunathan menjelaskan, memelihara haiwan dapat membuatkan seseorang ­kanak-kanak bergerak lebih aktif dan bukannya duduk terperap menonton televisyen atau bermain ­permainan komputer sepanjang hari.

"Haiwan peliharaan memberi dorongan kepada kanak-kanak untuk bergerak dan meningkatkan lagi skil motor mereka.

"Membawa anjing berjalan di taman atau ­mengejar kucing di sekitar rumah adalah salah satu teknik ­senaman yang mudah dan ringkas untuk kanak-­kanak, sekali gus me­ngelakkan mereka daripada kurang bergerak jika hanya melakukan aktiviti di depan skrin komputer.

"Apa yang saya lihat, aktiviti ini banyak membantu kanak-kanak yang me­ngalami masalah pergerakan perlahan hingga terpaksa dihantar melakukan alatan terapi.

"Tapi cuba letakkan haiwan di depan mereka. Pasti kanak-kanak ini sedaya upaya mencapai atau berusaha memegang haiwan itu kerana ingin bermain dengannya," katanya.

Bentuk skil sosial

Tambah Dr Sivagurunathan, skil sosial kanak-kanak juga dapat dibentuk menerusi caranya menge­ndalikan haiwan peliharaan.

"Haiwan boleh menjadi fasilitator atau pengantara sosial terbaik untuk kanak-kanak. Apabila seorang kanak-kanak bermain dengan haiwan peliharaannya, kanak-kanak lain pasti tertarik untuk turut bermain bersama.

"Dengan cara ini, haiwan peliharaan menjadi jambatan atau penghubung di antara kanak-kanak yang kurang bersosial dengan rakan sebayanya.

"Disebabkan haiwan ini menerima kita seadanya, ia membantu kita mengamalkan hubungan sosial yang sihat.

"Antara contoh terbaik ialah dua pekerja kami yang mengalami masalah sindrom Down, di mana sebelum ini mereka sukar berkawan dengan orang lain kerana kekangan yang dihadapi.

"Saya cuba menjalankan terapi haiwan pada mereka dan kini kedua-duanya menjadi antara pekerja paling ramah serta mudah bekerjasama dengan orang lain," katanya.

Bantu tingkatkan keyakinan diri

Haiwan kesayangan tidak ketinggalan memudahkan pelbagai aspek perkembangan emosi seperti perasan yakin pada diri dan rasa lebih bertanggungjawab.

"Apabila kanak-kanak mula faham dengan peranan mereka memelihara haiwan, mereka akan lebih bertanggungjawab bukan saja pada haiwan itu malah diri sendiri dan keluarganya.

"Tapi mengajar erti tanggungjawab itu adalah peranan ibu bapa dan haiwan peliharaan membantu memudahkan lagi proses terbabit.

"Ibu bapa perlu menerangkan caranya dan tegas dalam tindakan agar kanak-kanak ini tidak melakukannya separuh jalan. Pada usia kecil, mereka boleh diajar mengisi mangkuk makanan dan tahun berikutnya diajar cara pengendalian mudah seperti memandikan dan membersihkan haiwan itu.

"Pada tahun seterusnya, benarkan anak membawa haiwan peliharaan keluar rumah untuk bersiar-siar atau bermain dengan kumpulan lain.

"Dengan langkah ini, kanak-kanak terbabit mampu diberikan tugas lebih besar apabila diperlukan," ujarnya.

Menurut Dr Sivagurunathan lagi, mengekalkan tugas berorientasikan haiwan mengikut umur yang sesuai seperti langkah itu bukan saja penting untuk keselamatan haiwan malah bagi keseimbangan fizikal dan emosi kanak-kanak terbabit.

Aspek kognitif tidak diketepikan apabila membicarakan mengenai peranan haiwan peliharaan bagi perkembangan mental kanak-kanak.

Saat anak ini membesar, mereka akan mengalami pembangunan minda yang mendadak lalu membuat­kan mereka ingin tahu apa jua yang berlaku di sekelilingnya.

Apabila hubungan kedua-duanya makin rapat, kanak-kanak ini pasti ingin tahu lebih lanjut mengenai haiwan peliharaan mereka.

"Justeru, ibu bapa digalakkan menyokong anak mereka membaca mengenai haiwan kesayangan atau membawa mereka ke kelas mengendalikan haiwan agar pembangunan kognitif kanak-kanak ini dapat dipertingkatkan lagi.

"Membawa bersama anak apabila bertemu doktor veterinar juga membolehkan kanak-kanak itu bertanya mengenai masalah serta cara penjagaan haiwan yang betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

Mari lestarikan bumi

Posted:

Bergerak ke arah matlamat melestarikan bumi memerlukan perubahan asas dalam sikap serta tingkah laku manusia. Kemajuan atau perkembangan ke arah matlamat ini banyak bergantung kepada aspek pendidikan dan kesedaran awam.

Konsep pembangunan lestari untuk kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera bukanlah perkara mudah tapi tidak sukar pula untuk dimulakan.

Di sinilah munculnya peranan penting ibu atau figura wanita dalam sesebuah keluarga. Selain menguruskan hal rumah tangga dan keperluan keluarga, wanita juga perlu peka mengenai alam sekelilingnya.

Jelas Presiden EcoKnights, Yasmin Rasyid, wanita amat berpengaruh dalam masyarakat dan kelebihan itu sebaiknya digunakan bagi membantu melestarikan bumi ini.


"Apa jua yang dilakukan wanita berupaya memberi impak pada masyarakat. Atas faktor itu diharapkan wanita dapat membantu menyebarkan kesedaran mengenai pentingnya menjaga alam sekitar di sekeliling kita.


"Ia perlu dimulakan dalam kalangan ahli keluarga sebelum dibawa keluar kepada komuniti," katanya.

Nyata, saranan Yasmin disambut baik peserta yang hadir menyertai bengkel pulihara dan pelihara alam, Sabtu lalu, yang diadakan sempena menjelangnya Hari Bumi pada April ini.

Majoriti peserta adalah kalangan ibu yang mahu berkongsi maklumat mengenai kemapanan dan kitar semula yang boleh dilakukan di rumah.

Antara topik menarik perhatian ialah bagaimana sisa makanan boleh dijadikan baja kompos dengan menggunakan tong khas yang diberi percuma kepada peserta.

Peserta diberikan tip penting bagi memulakan projek pengkomposan mereka yang akan berlangsung selama tiga bulan.

Sepanjang tempoh pengkomposan itu, peserta diminta berkongsi gambar dan aktiviti berkala yang berlaku pada tong terbabit.

Bengkel seterusnya mengajar peserta kaedah mencipta taman mini bagi mereka yang tiada masa untuk bercucuk tanam atau mempunyai ruang rumah yang terhad.

Menggunakan bahan yang ada di sekeliling kita seperti batu, bunga dan daun, fasilitator menunjukkan cara menghasilkan terarium iaitu akuarium yang dipenuhi alam semula jadi.

Selain bertindak sebagai terapi minda, terarium juga dikatakan dapat membantu menyingkirkan toksik yang ada di sekitar kita, sekali gus membersih­kan udara.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved